Saturday, 11 February 2017

Ekspres Getaran Kesyukuran



Bismillahirrahmanirrahim
Ya Allah Ya Syakur Ya 'Aziz Ya Mutakabbir
Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala alihi Muhammad
“Allah suka hamba-Nya yang bersyukur. Semakin kita bersyukur, Allah akan kurniakan nikmat-Nya yang subur. Hidup kita bertambah-tambah makmur.”
Allah Ya Wahhab Ya Razzaq, Tuhan Maha Pemberi segala nikmat dan rezeki. Lalu, kepada siapa harus kita bersyukur? Kesyukuran harus dibuktikan dengan pelbagai cara. Secara zahir (yang nyata) dan juga secara batin (yang tersembunyi).
Nak tahu, salah satu ekpreskan rasa bersyukur melalui teknik berdoa. Kerapkan mengalun doa-doa kesyukuran. Andai selama ini kita berdoa banyak meminta dan memohon. Cubalah ubah cara berdoa dengan ucap kesyukuran kepada Allah.
Agak-agak macam mana tu? Mudah, banyakkan ucapan terima kasih dan sebut Alhamdulillah yang terbit dari hati dalam tiap bait doa.

  • Ya Allah Alhamdulillah, terima kasih atas nikmat sihat anggota badan.

  • Ya Allah Alhamdulillah, terima kasih atas nikmat ilmu, iman, amal dan takwa.

  • Ya Allah Alhamdulillah, terima kasih atas nikmat makan minum yang sedap-sedap.

Esok lusa, makin bertambah sihatnya. Makin bertambah ilmunya. Makin bertambah nikmat makan minumnya. Kenapa?
Bukankah Allah sudah janji siapa yang bersyukur, Allah akan gandakan nikmatnya. Lihatlah teman, betapa baiknya Allah Ya Syakur (Maha Menghargai). Kita tak minta, tapi Allah tawarkan nikmat yang berkali ganda. Alangkah bahagianya!

Image result for allah ya syakur

Ayuh sahabat, beruntung jika kita tingkatkan kesyukuran kepada-Nya. Berikut dikongsikan lagi 5 tip bagaimana mahu ekspreskan rasa syukur :

1.      Taat perintah-Nya
Wajib laksanakan segala perintah-Nya. Patuh dan taat tanpa berbelah bagi. Dan meninggalkan segala larangan-Nya. Fokus terpenting, buat semua perkara yang Dia suka, yang Dia redha.

2.      Jurnal syukur
Tuliskan senarai kesyukuran yang kita syukuri atas nikmat-nikmat kurniaan Allah SWT. Tulis secara istiqamah (konsisten) setiap hari. Selesai tulis, baca dengan penuh emosi.

3.      Buat perbandingan
Melihat orang di bawah kita. Maksudnya bandingkan taraf hidup kita yang jauh lebih baik dari orang itu. Sebagai contoh, orang yang sakit, miskin, tak belajar, tak ada kerja, merempat, tak ada famili. Ternyata, hidup kita serba serbi lebih beruntung atas limpahan rezeki Allah.

4.      Banyakkan memberi
Berkongsi rezeki yang bermanfaat dengan sebarkannya kepada yang memerlukan. Bukan setakat harta dan wang ringgit. Mungkin juga usaha, tenaga, idea, masa dan ilmu. Dalam istilah lain juga, banyakkan bersedekah.

5.      Insafkan diri
Mulakan hari-hari dari celik mata dengan rasa syukur hingga nak tidur tutup mata pun bersyukur tanpa henti. Sesungguhnya seluruh kehidupan ini adalah anugerah dari Ilahi. Tidak tertinggal satu pun yang bukan dari rezeki Dia. Semua hak milik Allah Taala. Kita hanya peminjam sementara.

Ya Allah, terima kasih kerana Kau sudi menghargai diri kami yang kerdil ini. Alhamdulillah.

Salam Syukur
Ida Hani Ali
11.2.2017
 

No comments:

Post a Comment