Saturday, 18 February 2017

Cerita Solat Dhuha Si Anak (Bahagian 2)



Bismillahirrahmanirrahim
Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala alihi Muhammad
Assalamualaikum teman-teman budiman.

Menyambung entri sebelumnya. Saya ada bercerita bagaimana cikgu sekolah Faizin melazimi amali solat dhuha di sekolahnya. Ingatkan hanya berhenti setakat itu. Rupanya belum lagi. Ada peristiwa yang buat hati seorang ibu ini tersentuh.

Kisahnya.

Suatu hari dalam kereta, kami sekeluarga dalam perjalanan ke sebuah destinasi. Seperti biasa, kami mendengar radio Ikim.fm. Layankannn.

Waktu jam menunjukkan 8.20 pagi, doa dhuha berkumandang merdu di corong radio. Lunak dan mengasyikkan … gitu. Memang rutin di radio Ikim setiap hari.

“Eh, macam lagu kat sekolah,” Faizin bersuara tiba-tiba.

“Oh … kat sekolah cikgu pasang lagu tu?” Si mama bertanya.

“Iyalah … selalu cikgu buat camtu,” balas Faizin lagi.

“Waktu rehat ye?” si ayah pula menyoal.

Faizin mengangguk. Pukul 10 -10.30 pagi adalah waktu rehat di sekolahnya.

Lain waktu di rumah, dia sedang bermain kereta dan patung ironman. Sampai terbaring-baring atas lantai. Biarkan saja dia berimaginasi. Hehehe.

Main … main … dan terus main sambil mulutnya ‘bising’ menggayakan aksi kereta dan barangkali juga ironman sedang melawan penjahat. Tinggi betul fantasinya!

Tiba-tiba, dia berhenti berbunyi dan mula berlagu arab.

“Allahumma innad dhuha adhuha uka. Walbaha abaha uka. Waljama la jamaluka …”

Apakah itu? 

Ya, doa solat dhuha hingga ke akhirnya. “Ma ataita min ‘ibadikassolihin.” 

Saya fikir dia akan berhenti setakat itu. Ohhh rupanya tidak. Lalu, dia menyambung dengan versi bahasa melayu pula. “Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha itu dhuha-Mu. Kecantikannya kecantikan-Mu ...” Juga hingga ke titik terakhir maksud doa dhuha tersebut.

Dalam beberapa detik waktu, saya berdiri kaku. Tidak bergerak, tidak berganjak dan tidak berbuat apa-apa kerja. Seperti ditekan oleh butang ‘pause’.

Ya Allah, budak 4 tahun 10 bulan boleh mengkhatamkan doa dhuha dalam 2 versi hanya sambil bermain. 

Ya Allah, anak yang dihantar ke sekolah sekadar untuk belajar bersosial sambil bermain-main itu dapat lebih daripada sepatutnya.

Ya Allah, kau mengerti kawan.

Setiap anak yang lahir, lahir bersama rezeki untuk dia dan ibu bapanya. Sewaktu dia kecil-kecil begini kita tak nampak rezeki yang bagaimana. Yang kita tahu, wah banyak nak kena keluar duit untuk belanja bersalin, akikah dan persekolahan.

Hakikatnya, anak yang kecil Allah anugerahkan otak yang cukup hebat. Ya, cukuuup hebat. 


Mereka boleh serap input sambil lalu saja. Mampu hafaz doa dan ayat-ayat Allah hanya dengan mendengar saja. Berupaya merakam perkataan ibu ayahnya dalam beberapa kali ulang saja.

Kerana hati mereka masih bersih daripada dosa dan noda. 

Image result for anak soleh

Alangkah bertuah kan, kita sebagai ibu bapa memantau dan mengulang tayang ‘data-data’ yang diperolehi di sekolah atau di manapun. Perbaiki mana yang perlu supaya dia tekun jadi orang yang berilmu.

Alhamdulillah, dapat juga kita saham akhirat jika anak itu beramal hingga hujung nyawa. Tidak la nanti kita terkedip-kedip mata kerana saham mengajar semua telah dikredit kepada si cikgu. 

Bukan sikap yang sambil lewa, “Oh, dia dah pandai dah. Cikgu kat sekolah dah ajar dah.”   

Ambil peluang untuk kumpul kebaikan atas kebaikan yang sedia ada. Esok lusa, anak tu jadi imam besar Madinah, kita juga yang besar hati. Insya-Allah. Andai sebaliknya, usah salahkan cikgu pula.

Salam Mujahadah
Ida Hani Ali
18.2.2017

No comments:

Post a Comment